
Negeri Sembilan Juara Piala Malaysia 2011
SHAH ALAM, (D5) - Betul-betul semangat Hobin Jang Hobin! Negeri Sembilan bangkit untuk
menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit dan muncul juara Piala Malaysia buat kali
ketiga dalam sejarah penyertaannya dengan membenam Terengganu 2-1 di
Stadium Shah Alam.
Gol kemenangan Sang Rusa dijaringkan Hairuddin Omar pada minit ke-86 menerusi
satu aksi akrobatik.
Ini merupakan gol di tahun ketiganya dalam pentas final Piala Malaysia di mana
sebelum ini berjaya melakukannya bersama pasukan yang sama pada 2009 dan
Kelantan pada 2010.
Bagaimanapun, kerancakan separuh masa pertama oleh kedua pasukan yang
saling melancarkan serangan belum membuahkan hasil sehingga para pemain
menuju ke bilik persalinan.
Penyerang sensasi, Hairuddin Omar memiliki peluang pertama untuk menguji
Sharbinee Allawee seawal minit pertama lagi.
Minit ke-9 S. Kunanlan hampa apabila percubaannya beberapa ela di depan pintu
gol melewati palang sungguhpun hantaran tersebut telah diatur cantik Shukor Adan.
Benteng Terengganu pula mudah panik dalam tempoh 10 minit terawal dengan mudah
menghadiahkan dua sepakan percuma di luar kotak penalti.
Ternyata dua pasukan ini memiliki corak berbeza. Negeri Sembilan mengawal tempo
permainan dengan hantaran-hantaran pendek sementara Terengganu pula mengintai
peluang untuk melancarkan serangan balas.
Tetapi nada permainan mula bertukar apabila pemain-pemain Terengganu semakin
yakin untuk melakukan skil individu.
Bek finalis musim lalu itu, Irwan Fadli Idrus yang kerap naik ke atas mungkin dihukum
seandainya sedikit leka kerana Joseph Kalang Tie dan Ashaari Samsudin saling bertukar
posisi di bahagian berkenaan.
Minit ke-21, Farizal Marlias berdepan ujian dengan merebahkan badan bagi menghalang
percubaan leret Ashaari.
Seminit selepas itu, Abdul Manaf Mamat larian melepasi tiga pertahanan lawan dan
hanya mampu melepaskan keluhan tatkala bola singgah di palang Farizal yang sudah
tertewas.
Perlawanan bertambah rancak apabila Negeri Sembilan mengkucar-kacirkan kubu lawan
di mana pertahanan bergelut untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Pemenang Kasut Emas Liga Super musim ini, Abdul Hadi Yahaya agak berang dengan
Ashaari yang tidak mengumpan bola kepadanya pada minit ke-38 walaupun berdepan
situasi satu lawan dua.
Aidil Zafuan Abdul Razak kemudian dilayangkan kad kuning kerana menjatuhkan Abdul Manaf
betul-betul di luar kotak penalti. Sepakan percuma itu kemudian gagal dimanfaatkan.
Stadium Shah Alam akhirnya bergema dengan sorakan gol pada minit ke-59 selepas
menerusi gerakan licik Abdul Manaf yang disempurnakan Ashaari walaupun cuba dihalang
Qhairul Anwar Roslani.
Idris Karim menjadi acahan pertamanya dari tengah padang dan dia mengambil kesempatan
itu meluru ke arah Norhafiz Zamani Misbah dan Aidil Zafuan sehingga berlaku salah faham di antara mereka membuka ruang buatnya menghidu posisi Ashaari yang berada lebih baik daripadanya.
Sedikit kealpaan nyaris menghukum Terengganu dan situasi itu cepat dihidu Sharbinee yang melakukan tindakan berani menghalang Hairuddin yang sudah bersedia menerpa ke arah bola.
Pada minit ke-80, dengan sedikit tuah, Sang Rusa beroleh gol penyamaan di luar jangkaan. Bola yang kelihatan tidak berbahaya dibiarkan melantun masuk ke dalam pintu gol oleh Sharbinee.
Selang enam minit kemudian, Hairuddin meranapkan penantian Terengganu selama 10 tahun dengan jaringan menarik untuk menewaskan Sharbinee buat kali kedua.
Sang Penyu kali ini gagal mengulangi aksi seperti di Piala FA yang lalu apabila buntu memburu gol penyamaan dalam tempoh lima minit masa kecederaan diberikan.
Image © AREP KULAL
Pemain Negeri Sembilan Abdul Halim Zainal mengawal Pemain Terengganu Ashaari Shamsudin dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor.
Gol 1 --> http://www.youtube.com/watch?v
Gol 2 --> http://www.youtube.com/watch?v
Gol 3 --> http://www.youtube.com/watch?v
0 comments:
Catat Ulasan